Lama sebelum 'bapa falfasah Barat' Perancis, Rene Descartes (1596 - 1650), berkata "...aku berfikir, maka aku wujud", seruan berfikir sudah tertinta dalam Al-Quran. Berfikir dikaitkan dengan antara kurnia amat bernilai daripada Allah subhanahu wa ta`ala kepada manusia iaitu akal. Akal membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia berfikir sehingga boleh membezakan yang benar daripada yang salah.

Berakal menjadi syarat kedudukan seseorang sebagai Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab seperti solat dan sebagainya. Hal ini disyariatkan sebagai 'mukallaf'. Anak kecil yang belum baligh, orang yang tertidur dan orang yang tidak waras tidak dianggap 'mukallaf'.

Cara akal digunakan boleh bersifat 'deduktif' atau 'induktif' seperti ketika Nabi Ibrahim berfikir mengenai kewujudan Tuhan dan sifat-sifat yang perlu ada bagi-Nya. Ketika malam, Nabi Ibrahim melihat bintang dan berkata: "Inilah Tuhanku." Namun bintang hilang di siang hari.

Ketika melihat bulan, beliau berkata: "Inilah Tuhanku". Kemudian bulan terbenam dan Nabi Ibrahim menyangka matahari pula Tuhannya kerana ia terbesar. Menerusi proses deduktif dan induktif tadi, Nabi Ibrahim menemukan jalan lurus (hanif) menuju Ilahi, bak katanya:

"Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya)" (Surah Al-An`aam, surah 78).

Al-Qur`an menyatakan proses akal perlu dipupuk menerusi pembacaan. Itulah sebab kekata 'iqra' menjadi wahyu sulung yang diterima Rasulullah. Namun untuk mengasah jalan fikir, seseorang Muslim memerlukan proses perenungan atau tafakur seperti dilalui Rasulullah yang pada usia menginjak 40 tahun sering menyendiri (tahannuts) di Gua Hira, di bukit Nur, Makkah.

Dalam mencari kebenaran pula, seseorang perlu bersikap rendah hati (tawaduk) dan senantiasa berdoa agar Allah subhanahu wa ta`ala memberikannya petunjuk.

Dalam proses membina akal dari segi Islam, ada dua cara yang boleh digunakan untuk merangsang fikiran:

* Tadabbur iaitu merenung erti ayat-ayat Al-Qur`an mengenai sejarah, kebesaran Ilahi dan sebagainya. Dalam Al-Qur`an terdapat banyak seruan agar manusia menggunakan akalnya - fikir sebelum menerima sesuatu penerangan atau mengambil tindakan. Memandangkan 'terbatas' akal manusia, Allah telah menunjukkan jalan-Nya kepada Rasulullah memerusi amalan bersolat dan berdoa agar hati insan tidak terkunci. "...maka tidakkah mereka mahu merenung memahami Al-Qur`an atau hati mereka sudah terkunci?" (Surah Muhammad, ayat 24).

* Ada kala akal tidak kesampaian untuk membuka 'rahsia' atau huraian bagi masalah. Itulah sebabnya umat Islam disuruh bersolat hajat dan istikharah (mencari petunjuk) di samping terus menambah ilmu dan berdikir panjang.

Dalam sejarah Islam, ulama telah menyusun cara mencari ilmu, berbincang dengan penuh adab, mengarang dan mengembangkan pengetahuan. Proses inilah yang telah mencetuksan peradaban Islam selama 700 tahun.

Al-Qur`an mengadungi banyak sumber ilmu termasuk mengenai penciptaan hujan sehinggalah tempoh waktu penciptaan alam semesta. Tujuan Allah berbuat demikian tentulah merangsang kita untuk berfikir, mengkaji, meneroka dan menemukan jawapan kepada pelbagai persoalan dan permasalahan.

Oleh itu, umat Islam digalak berfikir panjang dengan menambah ilmu menerusi pembacaan dan kajian serta pengembangan. Sayang tradisi itu kini digarap oleh Barat dan bangsa-bangsa lain.

Dengan berpandukan agama, maka berfikir dan berusahalah untuk meraih kehidupan bermakna.

Mengapa anda semua tidak mahu mengisi hati-hati ini dengan rasa cinta kepada Allah? Mengapa anda semua tidak manu mengagungkanNya? Mengapa anda semua tidak menaruh rasa hormat dan menghargaiNya? Apa yang telah berlaku ke atas diri anda semua, apakah anda sedang mabuk? Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

"Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? Padahal Dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian."
(surah Nuh, ayat 13 dan 14)

Nabi Yunus `alaihi salaam telah terperangkap di dalam tiga kegelapan iaitu: kegelapan malam yang menakutkan, lautan yang bergelombang dan kegelapan perut ikan yang menyeramkan. Kepada siapakah beliau memohon?!

Kepada siapakah beliau meminta bantuan?! Kepada siapakah beliau mengadu?! Nabi Yunus `alaihi salaam tidak mengadukan peristiwa ini kepada keluarga dan saudaranya. Tidak pula mengadu kepada anak dan isteri. Namun dia hanya ingat kepada Allah Yang Maha Penolong, yang dapat menghilangkan kesusahan, dan keadaan yang menakutkan. Dalam rintihannya dia berdoa yang membawa maksud:

"Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim."
(surah al-Anbiyaa`, ayat 87)

Ketika Allah mendengar doa Nabi Yunus `alaihi salaam, maka Dia menolongnya dan menyelamatkannya. Ketika angin taufan berhembus kencang, ombak yang besar menerjang kapal sehingga kapal tersebut bergoncang dan para penumpangnya berteriak ketakutan serta memanggil nama Tuhannya, Dialah Tuhan yang tiada tuhan selain-Nya. Mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan rasa ikhlas:

"Maka apabila mereka naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)."
(surah al-Ankabuut, ayat 65)

Ketika seseorang itu melakukan dosa, jika dia mahu bertaubat dan memohonkan ampun kepada Allah, maka Allah tidak sampai hati untuk tidak mengampuninya. Allah Maha Pengasih yang kasih sayangNya lebih besar daripada kemarahanNya. Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

"Katakanlah: 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'."
(surah az-Zumar, ayat 53)

Setiap hamba akan diminta pertanggungjawaban dari seluruh amalnya. Kerana Allah akan melihat isi hati setiap orang. Dialah yang mengawasi gerak-geri orang-orang yang mahu berbuat keji. Allah akan menghancurkan orang-orang zalim, dan dengan keagunganNya, Allah akan menundukkan para maharaja. Allah adalah satu-satunya zat yang kekal abadi. Maha Suci Allah dari segala kekurangan, Maha Suci Allah dari segala sekutu dan Maha Suci Allah dari segala perserupaan. Segala sesuatu yang jauh dalam pengetahuan Allah akan kelihatan dekat.

Alhamdulillah dengan izin Allah dapat saya kembali mengisi ruangan Tazkirah kali ini. Saban hari kita menyebut Allahu Akbar (Allah Maha Besar) pada setiap kali kita mendirikan solat. Malangnya kebesaran Allah masih belum meresap dan menyelera di dalam jiwa sanubari kita.

Intipati atau ciri-ciri keimanan ialah merasakan kebesaran dan keagungan Allah di dalam diri setiap masa dan ketika dalam semua keadaan. Pendek kata tebal atau nipisnya iman seseorang bergantung kepada bagaimana dia merasakan kebesaran Allah di dalam hatinya. Keyakinan dan keimanan terhadap Allah menjadi pendorong untuk melakukan ibadat sebagai pengabdian diri kepada-Nya.

Allah menjadikan, memiliki dan memerintah sekalian alam ini. Malahan diri kita juga adalah kepunyaanNya. Oleh itu semestinyalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta sentiasa meminta pertolongan daripadaNya.

Allah berada di mana saja kita berada. KekuasaanNya sangat hampir dengan diri kita malahan ia lebih hampir dengan urat nyawa kita. Terlalu hampir Allah dengan kita sehinggakan kita tidak merasakan kewujudanNya. Di sinilah letaknya kejahilan dan kecuaian yang serius yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kesombongan dan keangkuhan menjadi semakin teruk apabila kita bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan kita menjadi semakin 'jauh' dengan Allah. Meskipun Allah sangat/terlalu hampir tetapi dosa kita menjadi 'hijab' yang melindungkan kita dari merasakan kebesaran dan kewujudan Allah Yang Maha Agung.

Hakikat ini kita boleh rasakan sendiri. Orang lain tidak dapat menilai sejauh mana keakraban kita dengan Allah yang mencipta kita. Cuma orang dapat melihat dan menilai diri kita secara zahir. Jika kita taat kepada Allah dalam suruhan dan laranganNya bermakna hubungannya rapat dengan Allah. Sebaliknya jika selalu melakukan maksiat bererti dia jauh dengan Allah. Allah tidak suka kepada orang yang zalim dan membuat maksiat. Dari segi batinnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Oleh sebab iman menjadi asas kepada keislaman seseorang, perlulah kita mencari jalan untuk merasa dan menghayati kemanisan iman. Kemanisan iman boleh diusahakan melalui dua jalan iaitu musyahadah dan muraqabah.

Kesemua objek sama ada yang hidup atau bukan hidup adalah ciptaan Allah. Ia menjadi bukti tentang wujudnya Allah. Tanpa Allah, alam ini tidak akan wujud. Ia tidak akan jadi dengan sendiri. Oleh itu untuk merasakan kehebatan Allah, perlulah kita menyendiri sekali-sekala melihat keajaiban alam dan isinya. Betapa hebatnya Allah menjadikan setiap sesuatu. Allah jadikan manusia pelbagai bangsa dan rupa. Allah menjadikan organ-organ dalam diri kita dengan fungsi masing-masing. Allah menjadikan haiwan pelbagai jenis. Allah menjadikan tumbuhan, ada yang berbuah, berbunga, berduri serta berlainan jenis dan rasa. Demikian juga Allah menjadikan siang dan malam serta cakrewala yang menjadi perhiasan alam. Semua ini menjadi petanda kebesaran Allah yang menuntut kita memerhati dan ber'musyahadah' untuk menguatkan keimanan kita terhadap Yang Maha Besar.

Kita lihat pula sifat setiap objek tersebut. Ada yang manis, tawar, pahit, masin, jahat, baik, panjang, lebar, licin, kesat, bulat, lonjong, berduri, berwarna-warni, kaya, miskin, hina, mulia, gagah, lemah, dan lain-lain lagi yang tidak mungkin dapat kita catatkan meskipun habis dakwat sebanyak air lautan digunakan. Duduklah sendirian dan menungkan hakikat ini; insyallah kita akan merasakan betapa agung dan hebatNya Allah yang menciptakan segala-galanya sama ada di langit, di bumi dan di dalam lautan.

Kemudian kita lihat pula gelagat manusia dengan pelbagai pekerjaannya. Ada yang bertukang, berlari, bermain, memasak, menyapu, mencuri, menyamun, berenang dan sebagainya. Segala bentuk perbuatan mereka adalah gerakan dari Allah. Namun kita tidak boleh sandarkan perbuatan jahat mereka dari Allah kerana manusia diberikan pilihan untuk melakukan yang baik atau jahat. Allah berikan akal kepada manusia untuk mereka lakukan yang baik saja. Malang sekali jika setelah diberikan akal, kita masih melakukan yang buruk dan dibenci oleh Allah.

Dengan musyahadah iaitu memikirkan segala yang tersebut di atas, akan menambahkan keyakinan kita terhadap Allah. Dialah yang mentadbir alam ini. Dia juga yang menghidup dan mematikan manusia. Apa yang Allah kehendaki tetap berlaku meskipun dibenci oleh manusia. Apa yang Allah tidak kehendaki tetap tidak akan berlaku meskipun semua manusia ingin kepadanya. Ibarat ayam sereban kepunyaan kita, kita berhak buat apa saja dan orang lain tidak boleh peduli sama ada kita hendak potong atau terus memeliharanya. Begitulah Allah dengan makhluk ini. Dia boleh melakukan apa saja terhadap kita dan manusia lain tidak berhak komplain atas apa jua kehendak dan iradat Allah. Sebab itulah kita mesti berdoa dan bertawakkal kepada Allah di samping berusaha mendekatkan diri kepadaNya.

Konsep 'Allah berserta kamu di mana saja kamu berada' perlu dihayati serta diyakini setiap ketika. Kesedaran tentang konsep ini akan membuat kita rajin beribadat dan takut membuat maksiat. Inilah kunci atau intisari ilmu tauhid - pengesaan terhadap Allah dalam perbuatan, sifat dan zatNya.

Menyorot sejarah Nabi Muhammad saw beruzlah di Gua Hira' adalah menjadi satu bukti tentang perlunya kita bermusyahadah dalam mencari sesuatu ketenangan dan kebenaran. Baginda dilantik sebagai Rasul setelah menerima wahyu pertama di Gua tersebut.

Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.

Proses musyahadah perlu dilakukan secara konstan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.

Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.

Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakuakn muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah' (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.

Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan/melawat di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.

Semoga dengan coretan di atas dapat menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi orang yang soleh yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak. Amin ya Rabbal Alamin.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.”
(Riwayat ad-Dailani )

;;

**Tv online**