Lama sebelum 'bapa falfasah Barat' Perancis, Rene Descartes (1596 - 1650), berkata "...aku berfikir, maka aku wujud", seruan berfikir sudah tertinta dalam Al-Quran. Berfikir dikaitkan dengan antara kurnia amat bernilai daripada Allah subhanahu wa ta`ala kepada manusia iaitu akal. Akal membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia berfikir sehingga boleh membezakan yang benar daripada yang salah.
Berakal menjadi syarat kedudukan seseorang sebagai Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab seperti solat dan sebagainya. Hal ini disyariatkan sebagai 'mukallaf'. Anak kecil yang belum baligh, orang yang tertidur dan orang yang tidak waras tidak dianggap 'mukallaf'.
Cara akal digunakan boleh bersifat 'deduktif' atau 'induktif' seperti ketika Nabi Ibrahim berfikir mengenai kewujudan Tuhan dan sifat-sifat yang perlu ada bagi-Nya. Ketika malam, Nabi Ibrahim melihat bintang dan berkata: "Inilah Tuhanku." Namun bintang hilang di siang hari.
Ketika melihat bulan, beliau berkata: "Inilah Tuhanku". Kemudian bulan terbenam dan Nabi Ibrahim menyangka matahari pula Tuhannya kerana ia terbesar. Menerusi proses deduktif dan induktif tadi, Nabi Ibrahim menemukan jalan lurus (hanif) menuju Ilahi, bak katanya:
"Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya)" (Surah Al-An`aam, surah 78).
Al-Qur`an menyatakan proses akal perlu dipupuk menerusi pembacaan. Itulah sebab kekata 'iqra' menjadi wahyu sulung yang diterima Rasulullah. Namun untuk mengasah jalan fikir, seseorang Muslim memerlukan proses perenungan atau tafakur seperti dilalui Rasulullah yang pada usia menginjak 40 tahun sering menyendiri (tahannuts) di Gua Hira, di bukit Nur, Makkah.
Dalam mencari kebenaran pula, seseorang perlu bersikap rendah hati (tawaduk) dan senantiasa berdoa agar Allah subhanahu wa ta`ala memberikannya petunjuk.
Dalam proses membina akal dari segi Islam, ada dua cara yang boleh digunakan untuk merangsang fikiran:
* Tadabbur iaitu merenung erti ayat-ayat Al-Qur`an mengenai sejarah, kebesaran Ilahi dan sebagainya. Dalam Al-Qur`an terdapat banyak seruan agar manusia menggunakan akalnya - fikir sebelum menerima sesuatu penerangan atau mengambil tindakan. Memandangkan 'terbatas' akal manusia, Allah telah menunjukkan jalan-Nya kepada Rasulullah memerusi amalan bersolat dan berdoa agar hati insan tidak terkunci. "...maka tidakkah mereka mahu merenung memahami Al-Qur`an atau hati mereka sudah terkunci?" (Surah Muhammad, ayat 24).
* Ada kala akal tidak kesampaian untuk membuka 'rahsia' atau huraian bagi masalah. Itulah sebabnya umat Islam disuruh bersolat hajat dan istikharah (mencari petunjuk) di samping terus menambah ilmu dan berdikir panjang.
Dalam sejarah Islam, ulama telah menyusun cara mencari ilmu, berbincang dengan penuh adab, mengarang dan mengembangkan pengetahuan. Proses inilah yang telah mencetuksan peradaban Islam selama 700 tahun.
Al-Qur`an mengadungi banyak sumber ilmu termasuk mengenai penciptaan hujan sehinggalah tempoh waktu penciptaan alam semesta. Tujuan Allah berbuat demikian tentulah merangsang kita untuk berfikir, mengkaji, meneroka dan menemukan jawapan kepada pelbagai persoalan dan permasalahan.
Oleh itu, umat Islam digalak berfikir panjang dengan menambah ilmu menerusi pembacaan dan kajian serta pengembangan. Sayang tradisi itu kini digarap oleh Barat dan bangsa-bangsa lain.
Dengan berpandukan agama, maka berfikir dan berusahalah untuk meraih kehidupan bermakna.
|
0 kommentarer:
Send en kommentar