Kejayaan gemilang yang dicapai oleh umat Islam pada zaman silam sebagaimana tercatit dalam lipatan sejarah amat sesuai untuk menjadi iktibar, pedoman dan sukat-sukat bagi generasi masa kini dan akan datang. Kehebatan mereka membangunkan sebuah tamadun yang unggul di persada dunia, dalam keadaan yang tidak pernah mengabaikan peranan agama dalam proses pencapaian kegemilangan tersebut, jelas membuktikan betapa penting keimanan atau kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam proses pembangunan supaya seluruh aktiviti dapat digerakkan secara terancang dan dalam bentuk yang bersepadu agar ia tidak terkeluar dari skop penunaian tugas manusia sebagai 'hamba' dan 'khalifah' di atas muka bumi dengan batasan kuasa dan kapasiti kemampuan yang ada.

Keimanan merangkumi kepercayaan kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, Hari Akhirat dan dengan takdir Allah Subhanahu Wata'ala sama ada baik ataupun sebaliknya. Menurut Dr. Yousef al-Qardawi, seorang tokoh ulama terkenal masa kini, iman yang sebenar merujuk kepada penanggapan atau pencapain akal manusia mencecah peringkat yakin, tanpa diseliputi oleh sebarang apa jua unsur syak dan ragu, disusuli dengan keakuran hati yang terserlah menerusi ketundukan dan kepatuhan seseorang terhadap semua perintah dan arahan yang diterima dari Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan yang diimaninya.

Dengan cahaya keimanan, dapat membentuk seseorang mukmin yang sempurna, sebuah masyarakat yang harmoni, negara yang aman dan sejahtera. Keimanan mampu mencorakkan seluruh aktiviti manusia berasaskan kacamata 'al-din' agama Islam dan memandu segala kegiatan pembangunan dengan tujuan supaya seluruh ahli masyarakat boleh mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Kesan daripada iman dalam diri seseorang akan dengan sendirinya menjadikannya sebagai manusia yang berguna, sentiasa bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua proses pembangunan. Kepentingan iman dalam proses pembangunan ialah sebagai nadi penggerak dan pemandu ke arah jalan yang betul yang tidak bertentangan dengan ajaran syariat Islam. Mana-mana projek yang bercanggah dengan syariat Islam seperti arak, judi, pusat-pusat hiburan maksiat tidak dapat dinamakan sebagai pembangunan kerana ianya pasti akan membawa kepada kehancuran dan ini berlawanan dengan pembangunan itu sendiri yang bermaksud menuju ke arah kehidupan yang lebih baik atau mengekalkan kehidupan yang sedia ada pada tahap yang baik.

Masyarakat Islam seharusnya perlu tahu bahawa mereka tidak ada pilihan lain untuk membangunkan negaranya melainkan mestilah mendapat bimbingan wahyu. Wahyu itu pula perlu kepada rasul yang membawa, menyampaikan dan menunjukkan dalam bentuk perbuatan kehendak wahyu tersebut. Sebab itu setiap pengutusan seseorang rasul akan diikuti dengan kebangkitan umat yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebangkitan sesuatu umat itu pula bermula dengan kebangkitan kerohanian iaitu keimanan atau kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan diikuti dengan pencapaian kebendaan yang tinggi berasaskan aqidah, hukum syarak dan akhlak yang mulia. Firman Allah Ta'ala dalam surah al-A'raaf ayat 96:

ولو أن أهل القرى ءامنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السمآء والأرض

Tafsirnya:

Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.

Iman dan takwa adalah dua perkara yang sangat mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Membina rumah, bangunan, kereta, kapal, menimba ilmu dan sebagainya yang mendatangkan faedah dan manfaat adalah termasuk dalam amal salih. Namun, amal salih tidak sempurna jika tidak disertai dengan keimanan yang jitu akan keEsaan Allah Subhanahu Wata'ala. Selepas selesai sesuatu projek, bertawakkallah kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya apa yang diusahakan akan mendatangkan hasil yang baik dan bermanfaat untuk kebahagiaan hidup dunia akhirat.

Pembangunan yang direncanakan dalam Islam adalah menyeluruh mengambil kira aspek fizikal dan spiritual, kebendaan dan kerohanian. Sebagai contoh, bagi projek pembangunan perumahan kos rendah, setentunya mengandungi paling kurang tiga buah bilik tidur. Ini adalah kerana dalam ajaran Islam perlu mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dengan perempuan apabila sampai peringkat umur tertentu. Begitu juga dengan projek-projek mega perumahan penduduk, perlu juga mengambil kira supaya masjid atau balai ibadat dibangunkan di tempat berkenaan sesuai dengan bilangan jumlah penduduk yang akan mendiami projek berkenaan.

Hal ini sebenarnya perlu diberi perhatian utama oleh semua pihak, khususnya kalangan yang terlibat dalam usaha pembangunan, samada penggubal dasar, jentera pelaksana dan kalangan yang terlibat dalam mana-mana projek pembangunan. Apatah lagi dalam konteks negara-negara membangun yang pernah dijajah oleh pihak penjajah yang bukan sedikit meninggalkan warisan idea tentang falsafah pembangunan dan strategi pelaksanaan yang tidak bersendikan asas-asas ajaran agama Islam. Semua pihak perlu memperbetulkan hala tuju apatah lagi bila sudah tersasar agar mempastikan setiap pembangunan yang diungkayahkan sekali-kali tidak mengenepikan unsur 'rabbani', khususnya dari aspek falsafah pembangunan yang mendasari seluruh kegiatannya.

Usaha-usaha mengkesampingkan peranan iman dalam proses pembangunan negara akan melahirkan generasi yang hilang kemanusiaannya walaupun mereka mungkin terkedepan dari aspek pencapaian material. Ini adalah kerana mengenepikan aspek keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala boleh mengheret pembangunan itu menjurus ke arah kegagalan dan menimbulkan generasi yang terlalu mementingkan kebendaan dan kurang menekankan aspek penghayatan terhadap prinsip-prinsip ajaran Islam yang luhur. Maka tidak menghairankan, timbul bermacam-macam isu keruntuhan moral dan gejala sosial yang diwarnai dengan berbagai keanekaan ragamnya sesuai dengan perkembangan kemajuan teknologi terkini. Di tambah lagi dengan kekayaan yang diperolehi dari keuntungan berlipat ganda digunakan bagi menaja pelbagai rupa bentuk kemaksiatan, yang hanya menguntungkan si penaja dan�menghancurkan pihak-pihak yang terjerumus dalam kancah tersebut. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan mewarnai pembangunan yang dikecapi, ianya boleh menghancurkan pembangunan itu sendiri. Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Israa ayat 16:

وإذا أردنا أن تهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

Tafsirnya:

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Bagi mengelakkan proses pembangunan berakhir dengan kegagalan dan kehancuran, falsafah-falsafah yang tidak berasaskan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti sistem kapitalis dan sosialis komunis hendaklah diketepikan sama sekali. Walaupun akal, ilmu, falsafah dan idealogi yang dimiliki oleh manusia dapat mengenal pasti kebaikan dan keburukan, tetapi kemampuannya amat terbatas, tidak mutlak dan banyak dikuasai oleh kepentingan-kepentingan diri, kebendaan dan nafsu yang tidak pernah puas. Sebagai contoh, teori modenisasi yang diwar-warkan oleh negara-negara maju adalah berasaskan kepada hepotesis bahawa negara-negara membangun kekurangan tabungan dan teknologi dan rakyat pula enggan mengubah cara hidup sosiobudaya mereka yang dilabel Barat sebagai penghalang pembangunan. Teori ini menegaskan bahawa negara Barat adalah model untuk diikuti negara membangun dan untuk maju negara berkenaan harus mengimpot modal, teknologi, kepakaran dan nilai serta institusi dari Barat. Falsafah ciptaan Barat ini sebenarnya dipenuhi dengan unsur keraguan dan kekeliruan. Apa tidaknya, struktur sosioekonomi politik negara-negara membangun direkabentuk oleh penjajah dan bekas penjajah sehingga harus sentiasa bergantung kepada mereka dalam hampir semua kegiatan pembangunan. Misalnya, untuk mendapatkan modal dan teknologi moden, negara-negara membangun akan diberi bantuan atau pinjaman oleh negara-negara maju jika memenuhi syarat-syarat tertentu seperti membuka pasaran bebas, menaikkan faedah bank dan cukai yang kesannya boleh menindas pengusaha-pengusaha tempatan dan rakyat sesebuah negeri. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat khususnya orang-orang Islam berkewajipan untuk memahami proses pembangunan. Kesedaran tentang pembangunan perlu wujud di kalangan masyarakat supaya pembangunan yang menurut acuan Islam tidak hanya setakat teori atau hanya dalam lipatan sejarah kegemilangan zaman silam. Jika jiwa pembangunan tidak wujud di kalangan masyarakat, maka kelancaran sesuatu perancangan projek pembangunan boleh terjejas atau pembangunan itu hampir-hampir tidak ada kerana masyarakat tidak terfikir untuk membangunkan suatu kawasan atau projek yang sebenarnya berpotensi untuk diperkembangmajukan.

Masyarakat Islam perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang konsep pembangunan sebagai kegiatan yang tidak terkeluar dari tugas manusia sebagai hamba dan khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk mentadbir dunia berasaskan ajaran tauhid. Segala aktiviti pembangunan dalam sebuah masyarakat tidak harus mengkesampingkan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika serta berpegang teguh dengan nilai-nilai agama dan kerohanian. Dimensi utama yang sewajarnya menjadi teras dalam pembangunan sesebuah negara ialah pembangunan keinsanan menyeluruh dan bersepadu berakarkan keimanan dan kepatuhan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh: Haji Matussein bin Haji Jumat

0 kommentarer:

**Tv online**